Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan
fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu satu macam cara. Apabila
mengalami sakit atau sebarang gangguan, biasanya tanpa lengah lagi
manusia akan segera menemui doktor. Andainya tidak berkesan daripada
rawatan biasa, berpindah pula ke doktor atau rawatan pakar.
Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati
atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli
langsung atau mereka memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh.
Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja
mencetuskan berbagai kejahatan dan kemungkaran malah akan diseksa di
Neraka Allah SWT di Akhirat kelak, wal’iyazubillah.
Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang di antaranya seperti berikut:
1. Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad
lahir), ia binasa. Di Akhirat kelak, roh itu akan diberi jasad baru.
2. Roh itulah yang akan menerima atau merasa nikmat atau azab bersama jasad barunya di Akhirat kelak.
3. Ia adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan yang mana
sama-sama ingin mengisi. Malaikat dengan iman, syaitan dengan kekufuran
atau malaikat dengan keyakinan, syaitan dengan keraguan.
4. Ia adalah tempat jatuhnya ilham atau ilmu laduni (dapat ilmu tanpa
belajar), ia merupakan wahbiah (anugerah) daripada Allah. Akal tempat
ilmu nazali (ilmu yang dipelajari).
5. Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.
6. Roh kalau ia terlalu bersih, matanya lebih tajam dari mata lahir
atau mata kepala, sebahagian perkara yang ghaib Allah perlihatkan
kepadanya. Itulah yang dikatakan mukasyafatul qulub.
7. Roh atau hati adalah raja dalam diri. Kalau hati itu baik, ia akan
arahkan tentera-tenteranya iaitu anggota lahir atau jawarih kepada
kebaikan. Kalau ia jahat, ia akan arah tenteranya membuat kejahatan.
8. Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan
juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang
sayugianya hendaklah dibuang atau dijauhi.
9. Ia adalah merupakan tempat merasa iaitu susah atau senang, bahagia
atau dukacita, rasa sempit atau rasa lapang, rasa keluh-kesah atau
tenang, rasa kecewa atau ceria, rasa putus asa atau harapan yang cerah,
rasa benci atau suka, rasa ragu atau percaya, rasa pesimis atau optimis,
rasa rindu atau simpati.
10. Sikap jasad lahir atau tingkah laku adalah pancaran dari hati atau roh sama ada baik ataupun buruk.
11. Hati tempat penglihatan dan nilaian Tuhan manakala jasad lahir tempat pandangan makhluk.
12. Hidayah yang lahir, ia adalah punca dari yang batin atau roh atau hati.
13. Sifat mahmudah yang paling terpuji ialah ikhlas, penentu segala
amalan seseorang itu diterima atau ditolak ialah bertapak pada roh atau
hati, malaikat pun tidak tahu, hanya Allah yang mengetahui.
14. Seseorang yang membuat kebaikan, orang tidak kata baik tangannya, kakinya, tapi orang berkata baik hatinya.
15. Ketahanan yang lahir adalah berpunca daripada ketahanan yang baik yakni roh atau hati.
16. Segala perubahan yang lahir ini berpunca daripada perubahan yang batin yakni roh atau hatinya.
17. Penyakit roh atau hati membawa ke Neraka, penyakit lahir membawa
ke Syurga (segala kesusahan dan kesakitan lahiriah merupakan kifarah
dosa).
18. Penyakit lahir walau bagaimana teruk sekalipun, ia hanya
merosakkan badan, tapi penyakit roh atau hati menghancurkan apa yang ada
di dunia ini.
19. Penyakit badan kalau sudah teruk sangat, membawa mati badan, tapi penyakit roh atau hati membawa matinya iman dan Islam.
20. Penyakit badan sakitnya tidak kekal, tapi penyakit roh atau hati seksanya kekal abadi.
21. Penyakit lahir hanya manusia yang benci, tapi penyakit batin Allah benci.
22. Penyakit lahir menguruskan badan, tapi penyakit batin menguruskan iman.
23. Di dalam tidur, adakalanya mendapat alamat di dalam mimpi sama
ada secara jelas atau ibarat. Ia diperlihatkan kepada roh, bukan kepada
mata kasar.
24. Rasulullah SAW menyuruh takut dengan pandangan mata hati atau
pandangan roh. Allah tidak mengatakan agar takut kepada pandangan mata
kasar.
Sabda Baginda: “Takutilah firasat orang mukmin, kerana ia melihat dengan cahaya Allah.” (Riwayat At Tarmizi)
1. Penyakit lahir tidak dipandang hina oleh Islam, tapi penyakit batin dipandang hina.
2. Penyakit lahir tidak sampai hilang kepercayaan orang, tapi penyakit batin sampai menghilangkan kepercayaan orang.
3. Penyakit lahir tidak membawa permusuhan, perpecahan dan
peperangan, tapi penyakit batin membawa pergaduhan, perpecahan dan
peperangan.
4. Roh boleh mengembara tanpa jasad dan dapat melihat perkara-perkara yang ajaib dengan izin Allah.
5. Selepas mati, roh boleh balik ke dunia dan dapat melihat keluarganya, tidak seperti jasad.
6. Penyakit lahir orang simpati, penyakit batin orang tidak simpati.
Oleh kerana pentingnya hati dan roh, maka ia hendaklah dijaga sungguh-sungguh iaitu:
a. Wajib kita memberi makanan yang cukup. Makanannya ialah
sembahyang, zikrullah, membaca Al Quran, tasbih, tahmid, selawat,
melihat kebesaran-Nya melalui pemandangan dan mengingati mati.
b. Memberi ia pakaian iaitu dengan sifat-sifat taqwa.
c. Jauhkan dari sebarang penyakit seperti marah, bakhil, pendendam, sombong, riyak, ujub dan sebagainya.
Artikel asal :http://www.usahataqwa.com/taqwa/menjaga-hati.html