Korban
Dari segi bahasa, korban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allahsubhanahu wata‘ala. Dari sudut syara‘, korban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.
Pensyari'atan Dan Hikmahnya
Korban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya.
Firman Allah subhanahu wata‘ala: Maksudnya:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (sebagai tanda syukur)”
(Surah Al-Kauthar 108:2)
Hikmah disyari‘atkan korban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allahsubhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.
Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berkorban dan juga mereka yang lain.
Korban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih korban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya.
Hukum Melakukan Korban
Hukum melakukan korban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.
Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”
(Riwayat Tirmizi)
Pembahagian Ibadah Korban
Terdapat dua jenis Korban iaitu korban wajib dan korban sunat.
- Korban Wajib
- Korban Nazar.
Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai korban”
Sama sahaja hukumnya dalam hal sama ada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun seorang fakir. Binatang yang dibelikan untuk tujuan korban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk dikorbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berkorban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.
Korban Sunat
Korban sunat ialah korban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan korban.
Syarat-Syarat Korban
Syarat korban dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
- Syarat Wajib/Sunat Korban.
- Syarat Sah Korban.
- Syarat Mereka Yang Dituntut Berkorban.
Syarat Wajib/Sunat Korban
- Untuk dijadikan ibadah korban wajib ataupun sunat adalah disyaratkan dia mampu melaksanakannya.
- Orang yang dianggap mampu ialah mereka yang mempunyai harga untuk binatang korban yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang di bawah tanggungannya untuk hari raya dan hari–hari tasyrik kerana inilah tempoh masa bagi melakukan korban tersebut.
- Kedudukannya sama seperti dalam masalah zakat fitrah, mereka mensyaratkan ia hendaklah merupakan yang lebih daripada keperluan seseorang juga keperluan mereka yang di bawah tanggungannya pada hari raya puasa dan juga malamnya sahaja.
- Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudharatan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.
- Hendaklah korban itu dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.
- Hendaklah disembelih oleh orang Islam.
- Orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing menyumbang 1/7 bahagian.
Syarat Mereka Yang Dituntut Berkorban
- Islam.
- Merdeka.
- Aqil Baligh.
- Bermukim atau Musafir.
- Berkemampuan.
Waktu Pelaksanaan Ibadah Korban
Waktu bagi menyembelih korban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib :
“Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan korban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah khas (korban) ini sedikit pun.”
Binatang Korban
Perbincangan tentang binatang korban ini meliputi empat perkara :- Jenis binatang yang diqurban.
- Umur binatang korban.
- Kadar binatang yang disembelih.
- Sifat–sifat binatang korban.
- Jenis Binatang Yang Dikorban
Para ulama’ sependapat bahawa ibadah korban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berkorban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang.
- Umur Binatang Korban
Umur binatang yang hendak dikorbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu:
- Unta disyaratkan telah berumur lima tahun dan masuk ke umur enam tahun.
- Kambing dan lembu disyaratkan telah berumur dua tahun dan masuk ke umur tiga tahun.
- Kibasy disyaratkan telah memasuki umur dua tahun.
- Bagi anak unta, lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur dua tahun lebih (yang telah bersalin gigi) harus dijadikan korban.
- Kadar Binatang Yang Disembelih
- Sifat–Sifat Binatang Korban
Sifat–sifat binatang korban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah seperti berikut:
- Terang penglihatannya iaitu tidak buta.
- Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya.
- Gemuk, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus.
- Ciri-ciri yang afdhal terdapat pada binatang korban itu:
- Gemuk pada keseluruhan anggotanya.
- Bertanduk.
- Putih warna bulunya (pada kibasy).
- Jantan.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
Kami syari‘atkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
Kami syari‘atkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
(Surah Al-Hajj 22:34)
Tidak terdapat sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam atau sahabat yang menunjukkan mereka berkorban dengan binatang selain daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana korban merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada binatang an‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.
Adapun binatang yang lebih afdhal dikorban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.
Adapun binatang yang lebih afdhal dikorban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.
Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam juga telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia seolah-olah telah berkorban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua maka dia seolah-olahnya berkorban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga maka dia seolah-olah berkorban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai korban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh orang. Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berkorban bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”
Dalam riwayat Muslim pula menyebut :
“Kami keluar bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengorbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”
Sifat yang makruh pada binatang korban:
- Rabit telinganya.
- Terpotong sedikit bahagian belakang atau depan telinganya.
- Tidak mempunyai tanduk sejak asalnya.
- Patah tanduk sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya.
- Tanggal sebahagian giginya disebabkan tua atau jatuh.
- Kabur penglihatannya.
Perkara Sunat Ketika Berkorban
- Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
- Digantung tanda pada binatang yang hendak dikorbankan.
- Dibawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan.
- Disunatkan juga orang yang berkorban menyembelihnya.
- Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih korban.
- Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan korban.
- Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi.
- Setelah selesai disembelih maka sunat ditunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua anggota tidak bergerak lagi.
- Sunat bagi mereka yang mahu melakukan korban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berkorban.
- Binatang korban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri sebelum dilakukan penyembelihan.
- Sunat ketika sembelihan korban dilakukan adalah seperti berikut:
- Membaca basmalah.
- Bersalawat ke atas Nabi Muhammad.
- Binatang diarahkan ke arah qiblat.
- Bertakbir sebelum atau selepas membaca basmalah.
- Berdoa.
- Orang yang berkorban hendaklah membaca doa seperti berikut :
- Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti:
“Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat mendampingiMu.”
“Dengan nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu.Terimalah Ya Allah daripada si pulan, si pulan.....”
Perkara Makruh Ketika Berkorban
- Berlaku kasar kepada binatang yang hendak dikorbankan seperti mengheret atau memukul semasa membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.
- Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak dijadikan korban.
- Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan
- Bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan korban selesai dijalankan.
- Binatang yang telah dibeli untuk tujuan korban adalah makruh dijual kerana ia telah ditentukan untuk korban.
Hukum Daging Korban
- Korban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun yang ditentukan sama ada dengan menyebut, “Ini adalah korban”, maka orang yang berkorban tidak boleh memakannya. Dia wajib menyedekahkan semuanya sekali.
- Anak kepada binatang korban yang ditentukan juga, perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia boleh dimakan kesemuanya oleh tuan yang mengorbankannya kerana disamakan dengan hukum susu, kerana tuannya harus meminum susu binatang korban yang selebih daripada anaknya walaupun perbuatan itu makruh.
- Bagi korban sunat, maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya beberapa suap sebagai mengambil berkat.Ini bersesuaian dengan firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.(Surah Al-Hajj, 22:28) - Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang korbannya. Hukum memakan daging korban pula tidak wajib, ini berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala
Maksudnya:
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.
(Surah Al-Hajj, 22:36)
Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa ia dijadikan untuk kita. Setiap perkara yang dijadikan untuk manusia, maka dia diberi pilihan sama ada mahu memakannya atau tidak.
- Orang yang berkorban juga boleh menjamu kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh diberi milik kepada mereka. Yang boleh cuma dihantar kepada mereka sebagai hadiah yang mana mereka tidak akan menjualnya atau sebagainya.
- Mengikut pendapat dalam qawl jadid, orang yang berkorban boleh memakan sebahagian daripada korbannya. Mengikut qawl qadim pula harus memakan sebanyak separuh, manakala bakinya hendaklah disedekahkan.
- Sebahagian ulama’ berpendapat daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 daging disedekahkan dalam keadaan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 daging dimakan oleh orang yang berkorban.
- Pendapat yang asahpula, adalah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun seorang. Walaubagaimanapun, yang lebih afdhal hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya beberapa suap untuk mengambil keberkatan seperti yang telah dijelaskan.
- Bagi korban sunat pula, orang yang berqurban boleh sama ada bersedekah dengan kulit binatang tersebut atau menggunakan sendiri, seperti mana dia harus mengambil faedah daripada binatang itu semasa hidupnya. Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal. Bagi korban yang wajib pula, kulit binatang itu wajib disedekahkan.
- Korban juga tidak harus dibawa keluar dari negeri asalnya sebagaimana yang ditetapkan dalam masalah membawa keluar zakat.
Sumber : www.al-azim.com
No comments:
Post a Comment
Jazakallahu Khairan atas perkongsian komen anda