Salah satu sunnah yang mungkin telah diabaikan sebahagian kelompok umat Islam hari ini adalah memendekkan solat fardhu empat rakaat menjadi dua rakaat ketika dalam safar (perjalanan jauh). Atau dengan nama lain yang lebih khusus, mengqasarkan solat ketika safar.
Ketika mula-mula solat difardhukan ia dilaksanakan dengan dua rakaat masing-masing, kecuali solat fardhu Maghrib. Tetapi kemudian menjadi empat rakaat bagi fardhu Zuhur, Asar, dan Isyak setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berhijrah, melainkan sekiranya berada dalam perjalanan (safar) ia tetap dilaksanakan dengan dua rakaat masing-masing.
Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
فَرَضَ اللَّهُ الصَّلَاةَ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحَضَرِ أَرْبَعًا وَفِي السَّفَرِ رَكْعَتَيْنِ وَفِي الْخَوْفِ رَكْعَةً
“Allah telah mewajibkan solat melalui lisan Nabi kamu empat rakaat ketika hadir (ketika bermukim atau menetap), dua rakaat ketika dalam perjalanan (safar), dan satu rakaat ketika dalam peperangan (khauf).” (Hadis Riwayat Muslim, 3/463, no. 1109)
Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah solat dengan empat rakaat (bagi Zuhur, Asar, dan Isyak) ketika dalam perjalanan. Begitu juga dengan Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Utsman. Mereka masing-masing melaksanakannya dua rakaat dua rakaat.
Selain itu, Ibnu ‘Umar juga menyebutkan:
صَلاَةِ السَّفَرِ رَكْعَتَانِ مَنْ خَالَفَ السُّنَّةَ كَفَرَ
“Solat dalam perjalanan itu adalah dua rakaat (bagi Zuhur, Asar, dan Isyak). Sesiapa yang menyelisihi sunnah maka ia termasuk orang yang ingkar (kufur).” (Majma’ az-Zawa’id, 2/357, no. 2936. Dinilai sahih oleh al-Haitsami, ash-Shan’ani, dan al-Albani)
Maka dari itu, seharusnya kita berusaha untuk tetap melaksanakan solat ketika safar dengan tidak melebihi dua rakaat bagi setiap satunya dari fardhu Zuhur, Asar, dan Isyak. Ini adalah sebahagian dari usaha merealisasikan sunnah-sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam buat kita semua. Dan ia juga merupakan sedekah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada para hamba-Nya yang beriman sebagaimana disebutkan dalam hadis berkaitan.
Jarak Perjalanan Dibolehkan Qasar
Dalam mengqasarkan solat, tiada batas perjalanan yang khusus telah ditetapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita semua. Maka, perkara ini dikembalikan kepada makna safar (perjalanan) sebagaimana yang difahami oleh para sahabat Rasulullah ketika itu bersama-sama dengan kaedah bahasa arab tentang makna safar itu sendiri. Secara ringkasnya, perjalanan yang membolehkan solat diqasarkan adalah apabila sebaik sahaja kita telah keluar dari kawasan kebiasaan (secara uruf) seperti keluar dari kampung halaman atau wilayah kebiasaan tempat kita bermu’amalah, bermukim (menetap), atau menjalani aktiviti seharian. Sebaik sahaja keluar dari wilayah kebiasaan kita tersebut dengan tujuan melakukan perjalanan atas urusan tertentu, maka ia telah dikira sebagai safar (perjalanan) yang menuntut kita supaya melaksanakan solat secara qasar. Pendapat ini dikuatkan antaranya oleh Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnu Hazm dan Ibnul Qayyim.
Selain itu, dalam sebuah hadis Anas radhiyallahu ‘anhu menyebutkan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَرَجَ مَسِيرَةَ ثَلَاثَةِ أَمْيَالٍ أَوْ ثَلَاثَةِ فَرَاسِخَ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika keluar dalam jarak tiga batu atau farsakh, beliau melaksanakan solatnya dua rakaat.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/470, no. 1116)
Tiga batu adalah bersamaan lebih kurang enam kilometer. Dalam riwayat yang lain terdapat pula penjelasan yang menunjukkan Rasulullah mengqasarkan solat dalam perjalanan sejauh tujuh batu dan sebagainya. Juga apabila Rasulullah keluar sahaja dari Madinah, maka beliau akan mengqasarkan solatnya. Dari sini menunjukkan bahawa jarak bukanlah penentu untuk mengqasarkan solat. Tetapi sebaliknya, apa jua yang dinamakan sebagai safar (perjalanan jauh secara uruf), maka ia termasuk perjalanan yang dituntut untuk mengqasarkan solat padanya.
Kata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):
ولم يحدَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لأمته مسافة محدودة للقصر والفطر، بل أطلق لهم ذلك في مُطلق السفر والضرب في الأرض، كما أطلق لهم التيمم في كل سفر، وأما ما يُروى عنه من التحديد باليوم، أو اليومين، أو الثلاثة، فلم يصح عنه منها شيء البتة، والله أعلم
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah menetapkan (atau menghadkan) batasan jarak tertentu (dalam safar) bagi membolehkan seseorang untuk mengqasarkan solat dan meninggalkan puasa. Sebaliknya persoalan ini disebutkan secara umum bagi sesiapa sahaja yang sedang dalam keadaan safar dan berjalan di muka bumi (bermusafir). Adapun riwayat yang dinukil daripada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa pembatasan tempoh dengan satu hari, atau dua hari, atau tiga hari, maka semua itu adalah tidak sahih sama sekali. Wallahu a’lam.” (Ibnu Qayyim, Zaadul Ma’ad, 1/481)
Berapa Hari Dibolehkan Qasar?
Tidak ada pengkhususan tempoh dengan menetapkan bilangan hari tertentu bagi membolehkan solat secara qasar. Selagi mana kita masih dalam safar (perjalanan) dan tidak pernah berniat mukim (atau menetap), maka selagi itulah kita dituntut untuk terus melaksanakan solat secara qasar sehingga selesainya urusan (safar). Ini sebagaimana kata Ibnul Qayyim di atas tadi.
Solat Sunnah Ketika Safar
Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan:
وكان من هديه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في سفره الاقتصارُ على الفرض، ولم يُحفظ عنه أنه صلى سُنة الصلاة قبلَها ولا بعدَها، إلا ما كان من الوِتر وسنة الفجر، فإنه لم يكن ليدعهما حَضراً، ولا سفراً. قال ابنُ عمر وقد سئل عن ذلَك: فقال: صحبتُ اَلنبى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فلم أره يُسبِّح في السفر، وقال الله عز وجل: {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ في رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ} [الأحزاب: 21]، ومراده بالتسبيح: السنة الراتبة، وإلا فقد صحّ عنه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أنه كان يُسبِّح على ظهر راحلته حيث كان وجهه. وفي "الصحيحين"، عن ابن عمر، قال: كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصلي في السفر على راحلته حيثُ توجهت، يُومئ إيماءً صلاةَ الليل، إلا الفرائضَ ويُوتر على راحلته
“Termasuk petunjuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika dalam safar adalah mencukupkan dengan mengerjakan solat yang fardhu. Tidak dinukil bahawa beliau mengerjakan solat sunnah sama ada sebelum atau pun setelah solat fardhu melainkan solat witir dan solat sunnah Subuh. Kedua solat ini tidak pernah ditinggalkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada ketika mukim atau pun safar.
Ibnu ‘Umar berkata ketika ditanya mengenai perkara tersebut, “Aku menemani Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka aku tidak melihat beliau melaksanakan solat sunnah di ketika sedang safar, sementara Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman, “Telah ada bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik.” (al-Ahdzab, 33: 21). Maksud solat sunnah di sini adalah sunnah rawatib. Kerana telah dinukil melalui jalur yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat sunnah di atas haiwan tunggangannya ke mana sahaja haiwan tersebut menghadap (selain solat sunnah rawatib). Dalam ash-Shahihain (dua kitab Shahih) daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata, “Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di atas haiwan tunggangannya ketika dalam safar dengan menghadap ke mana sahaja haiwan tersebut menghadap. Beliau melakukannya dengan isyarat untuk solat malam, melainkan solat-solat fadhu. Dan beliau juga solat witir di atas haiwan tunggangannya.” (Zaadul Ma’ad, 1/474)
Daripada perkataan Ibnul Qayyim ini, ia menunjukkan bahawa tidak disunnahkan melaksanakan sebarang solat sunnah rawatib melainkan sebelum solat subuh. Ini adalah bagi mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta menahan diri dari melakukan apa yang tidak dianjurkan beliau, sebaliknya ditinggalkan pula oleh beliau. Juga tidak disunnahkan melaksanakan solat-solat sunnah yang lainnya melainkan solat witir di samping solat-solat sunnah yang padanya memiliki sebab tertentu untuk dilsaksanakan secara umum.
Mengqasarkan Solat Ketika Bersama Imam Atau Ketika Menjadi Imam
Apabila kita sedang dalam safar kemudian melaksanakan solat bersama imam yang bermukim (solat sempurna), maka apa yang disunnahkan adalah mengikuti imam untuk turut solat secara sempurna (empat rakaat).
Sebaliknya, jika kita yang menjadi imam maka kita hendaklah tetap mengqasarkan solat. Dan bagi makmum yang tidak qasar (bermukim), maka mereka perlu meneruskan solatnya sehingga sempurna (empat rakaat) setelah imam yang qasar tadi selesai pada rakaat keduanya.
Imam Ibnu Qudamah rahimahullah menyatakan, “Para ulama telah sepakat bahawa jika orang yang bermukim menjadi makmum kepada imam yang safar lalu imam tersebut mengucapkan salam (setelah dua rakaat solatnya), maka orang yang bermukim wajib menyempurnakan solatnya (empat rakaat).” (al-Mughni, 3/146)
Beza Di Antara Jamak Dengan Qasar
Mengqasarkan solat itu tidak memiliki sebab yang lain melainkan kerana berada dalam perjalanan (safar) semata-mata. Maka, tuntutan atau keringanan mengqasarkan (atau memendekkan) solat itu adalah khusus ketika safar sahaja, iaitu bagi solat yang empat rakat menjadi dua rakaat.
Sedangkan jamak, ia adalah perbuatan menghimpunkan dua solat sama ada Zuhur ke dalam waktu Asar atau sebaliknya Asar ke dalam waktu Zuhur. Begitu juga dengan Maghrib ke dalam waktu Isyak atau Isyak ke dalam waktu Maghrib.
Tujuan dibolehkan jamak juga lebih luas berbanding mengqasar solat. Di mana jamak memiliki sebab tersendiri dengan tujuan membantu hamba Allah yang mengalami kesulitan untuk melaksanakan solat pada waktunya. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dan penjelasan para ulama, di antara sebab-sebab dibolehkan menjamak (menghimpunkan) dua solat adalah seperti kerana sakit, istihadhah, hujan lebat, jalan berlumpur, angin kencang, udara yang terlalu sejuk (turun salji), kesukaran yang dihadapi berkaitan masa bagi salah satu waktu solat, dan seumpamanya. Menjamakkan solat ketika safar adalah dimakruhkan jika tidak memiliki sebab. Ini kerana disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila dalam safar, beliau sentiasa mengqasarkan solatnya, tetapi tidak pula disebutkan bahawa beliau sentiasa menjamakkan solatnya.
Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan: ولم يكن مِن هديه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الجمعُ راكباً في سفره، كما يفعله كثير من الناس، ولا الجمع حال نزوله أيضاً، وإنما كان يجمع إذا جدَّ به السير، وإذا سار عقيبَ الصلاة، كما ذكرنا في قصة تبوك، وأما جمعه وهو نازل غيرُ مسافر، فلم يُنقل ذلك عنه إلا بعرفة لأجل اتصال الوقوف، كما قال الشافعي رحمه الله وشيخنا
“Bukan termasuk petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat di atas tunggangannya di ketika safar sebagaimana dilakukan oleh kebanyakan manusia. Dan tidak pula beliau menjamakkan solat di ketika singgah di suatu tempat tertentu. Tetapi beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengumpulkan (menjamakkan) solat sekiranya terburu-buru dalam perjalanan dan apabila hendak berjalan setelah solat (setelah masuk waktu solat - pen.). Seperti yang telah kami sebutkan pada kisah perang Tabuk. Adapun menjamakkan solat di ketika singgah di suatu tempat tertentu tidak pernah dinukil daripada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melainkan ketika di ‘Arafah agar tidak mengganggu wuquf sebagaimana dinyatakan oleh asy-Syafi’i rahimahullah dan Syaikh kami.” (Zaadul Ma’ad, 1/481)
Niat Qasar Atau Jamak
Tiada lafaz niat yang khusus berkenaan dengannya. Tetapi cukup dengan merujuk maksud niat itu sendiri, dan niat itu tempatnya adalah di dalam hati dengan hadirnya keinginan dan kehendak yang kuat dengan disertakan usaha perlaksanaannya. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment
Jazakallahu Khairan atas perkongsian komen anda