ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak
Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran
yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.
Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.
Beliau
lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada
tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang
Perai, Pulau Pinang.
Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.
Ayahnya
seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir
berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu
Islam tradisional cara Patani.
Ilmu yang dikuatkan adalah tiga
jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli
Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu
Mansur al-Maturidi.
Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.
Selanjutnya
Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah.
Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.
Di antara
gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti
Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed
Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)
Ulama dari
dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah
Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla'
al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani
(penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad
bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di
Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin
ilmu).
Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat
dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian
menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.
Di antara
mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M
-1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869
M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366
H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai
lagi.
Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada
masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat
jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.
Beliau pernah
mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau
Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang
Perai Utara.
Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah
seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya
telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan
Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.
Mengenai
ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad
al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin
Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani,
sahabatnya.
Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang
mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang
berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu
Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.
Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Mereka
yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat
Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.
Ilmu
langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim,
ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.
Termasuk
juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan
ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad
al-Fathani.
Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir
menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa
orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad
Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi
bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.
Karya dan pemikirannya:
Karya-karya
hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah
melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa
buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama
sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.
Di antaranya
dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun
oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani
(Rabiulakhir 1352 H).
Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim
pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi
tidak sempat diselesaikannya.
Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:
``Tuan-tuan
sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se
Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam,
qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian
mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada
seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``
Abdullah
Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab
Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab
Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``
Walaupun
ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk
kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu
yang terkenal.
Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan
terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah
at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''
Mengenai pegangan
akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi
al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan
Jauharah ... ``
Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.
Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.
Beliau
pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah
al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin
juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad
al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.
Mengenai pegangannya
di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam
al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''
Di
dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu.
Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar
as-Salikin''.
Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab
dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada
al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla',
diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada
bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''
Keturunannya:
Di antara
anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah
seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang
didirikan oleh ayahnya.
Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi
pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik
menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003
Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong
Malaysia.