Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah S.W.T kepada seseorang tetapi dengan tujuan Allah S.W.T ingin membinasakannya.
Istidraj adalah keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan
kebinasaan atas mereka yang mendapat keluarbiasaan itu, hingga sampai
masa Allah membinasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.
Bukan sahaja merekalupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah S.W.T
menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya
segala syarat untuk Allah S.W.T membinasakan mereka. Tiada lagi
ragu-ragu atas kejahatan mereka.
Istidraj boleh dibahagikan kepada 4 bahagian.
01. Istidraj belaku kepada seseorang yang menuntut ilmu hitam (sihir/ kedukunan/ ilmu batin/ ilmu sesat dan sebagainya).
Biasanya seseorang yang menuntut ilmu hitam adalah menggunakan
khidmat jin kafir. Dia berpuasa untuk beberapa hari dengan tidak
memakan daging haiwan bernyawa, menyediakan beberapa sajin (untuk
makanan jin), bertapa (dengan meninggalkan solat fardu) dan ada jampi
mentera (memuji dan memuja jin-jin) hingga menjadikan seseorang
memiliki kelebihan luar biasa seperti kebal, pijak bara api kaki tidak
terbakar, boleh ghaib, boleh mengeluarkan bola api dan sebagainya.
Contoh sami hindu dalam perayaan Thaipusam, sami budha yang bertapa
dikuil-kuil dan di dalam ilmu-ilmu kebatinan yang sesat.
Kelebihan itu semuanya hanyalah hayalan dan dia telah dikuasai oleh
jin dan syaitan untuk mengelirukan manusia. Amalan tersebut adalah
kurafat dan boleh mendatangkan syirik. Kelebihan ini adalah istidraj
dan Allah S.W.T akan menimpakan bala kepadanya disebabkan dia beramal
dengan amalan-amalan syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
Firman
Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,
Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang
kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah
Al-A'raaf : ayat 182)
02. Istidraj berlaku kepada pemimpin.
Para pemimpin yang berkuasa dan menzalimi rakyat. Tidak mahu
menjalankan hukum-hukum Allah S.W.T dan menghidupkan undang-undang
ciptaan manusia, menyekat kebebasan bersuara dan melakukan penipuan,
rasuah, merampas hak-hak rakyat maka kekuasaan seperti ini adalah
istidraj. Sebab apa dipanggil istidraj kerana walaupun melakukan
kezaliman dan penyelewengan pemimpin seperti ini tetap mendapat
sokongan, kuasa dan pengaruh dan tidak mudah untuk menggugat kedudukan
kekuasaannya.
Perlu diingat bahawa firaun adalah contoh pemimpin dunia yang
diberikan istidraj oleh Allah S.W.T, akhirnya Allah S.W.T rentap
kekuasaannya dan menenggelamkan dia dan bala tenteranya diLaut Merah
kerana kezalimannya sudah melampaui batas .
Firman
Allah SWT maksudnya : "Katakanlah: 'Wahai Tuhan Yang mempunyai
kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan
Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau
muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang
Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya
Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah Ali-Imran:ayat 26).
Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah
binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan
dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya. Sekumpulan manusia tidak
pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejelikan yang
bertimpa-timpa. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi
penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa, namun semakin
buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu. Namun
bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat daripada kedunguan sokongan
yang dinikmatinya itu, segala 'kemanisan' itu mungkin sekadar istidraj
daripada Allah S.W.T untuk menyempurnakan kezaliman mereka. Agar bila
sampai masa Allah S.W.T menghukum dan mengazab mereka, tiada manusia
yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.
03. Istidraj berlaku kepada harta dan kekayaan.
Apabila seseorang ahli maksiat, suka minum arak, berzina, menipu,
mengambil riba dan meninggalkan solat dan puasa tetapi diberikan oleh
Allah S.W.T kemewahan, kekayaan, perniagaan maju dan tiada kerugiaan.
Anak-anak berjaya dalam kerjaya masing-masing, rumah banglow, kereta
mewah, media masa menyanjungnya sebenarnya ini semuanya adalah istidraj
dari segi harta dan kekayaan. Apabila sampai masanya nanti akan datang
musibah dan bala dan dalam sekelip mata harta yang dia miliki,
perniagaan yang dianggap tak akan rugi dan rakan-rakan sekeliling yang
memujinya semuanya akan hilang tanpa diduga. Baru dia sedar bahawa sifat
manusia ini adalah lemah dan apa yang dimiliki bukan hak mutlaknya dan
pemilik sebenar harta dan kekayaan adalah Allah S.W.T.
Al-Quran menceritakan istidraj berlaku kepada harta dan kekayaan yang
paling besar adalah berlaku kepada Qarun. Qarun memiliki gedung-gedung
menyimpan harta kekayaannya, anak kuncinya saja dipikul oleh 70 orang
yang kuat dan gagah. Bayangkanlah jumlah hartanya bukan billion tetapi
mungkin ribuan trillion (RM). Tetapi akhirnya Qarun pergi kemana? Dia
dan hartanya ditelan bumi kerana enggan bayar zakat dan cuba memfitnah
Nabi Musa A.S.
Perlu diingat orang-orang kaya dan ahli perniagaan yang suka membuat
fitnah (sebarkan vedio lucah) mungkin mereka dan harta mereka akan
mendapat nasib yang sama seperti Qarun, caranya Allah S.W.T sahaja Maha
Mengetahui, yang pasti bala daripada Allah S.W.T akan mereka terima
samaada cepat atau lambat.
Daripada Nabi SallaLlahu 'Alayhi Wa sallam bersabda, "Jika
kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas
maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya
itulah istidraj".
Lalu Rasulullah SallaLlahu 'Alayhi Wa sallam membaca (surah
al-An'aam ayat 44): Maksudnya: "Kemudian apabila mereka melupakan apa
yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka
pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka
bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada
mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang
membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang
pertolongan)."(Hadis riwayat Ahmad)
04. Istidraj berlaku daripada kemajuan sains dan teknologi ciptaan manusia.
Islam menggalakan umatnya mempelajari ilmu sains dan teknologi untuk
kemaslahatan manusia sendiri. Tetapi ramai mausia telah menyalahgunakan
kemajuan teknologi untuk memuaskan hawa nafsunya. Ada dikalangan
manusia mempelajarinya dan menggunakannya untuk mendatangkan kerosakakn
dimuka bumi. Mencipta bom atom dan nuklear untuk membunuh jiwa manusia
yang tidak berdosa. Mencipta berbagai-bagai penyakit dan disebarkan
kepada manusia lain dan mencari keuntungan dengan menjual ubat-ubat dan
penawar ke atas penyakit yang diciptakannya.
Contoh Jepun adalah negara maju yang mampu mencipta alat pengesan
sunami dan mempunyai simpanan senjata nuklear. Tetapi apabila berlaku
sunami baru-baru ini alat yang paling cangih yang mereka miliki tidak
dapat mengesan tentra Allah S.W.T berupa angit ribut, taufan dan ombak
besar hinggakan mengalami bencana besar dan kematian yang tinggi dan
berlaku kebocoran di rektor nuklearnya. Ini adalah tanda awal kemurkaan
Allah S.W.T dan peringatan kepada warga Jepun dan manusia seluruh
dunia bahawa kemajuan sains dan teknologi akan menjadi istidraj jika
manusia tidak mahu kembali mentauhidkan Allah S.W.T. Allah SWT akan
membinasakan manusia yang engkar melalui kemajuan sains dan teknologi
yang mereka cipta sendiri
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita insaf dan sedar dan bermuhasabah diri adakah
istidraj juga berlaku keatas diri kita? Tanda istidraj adalah apabila
kita memiliki harta kita tidak mahu membayar zakat, tidak suka
bersedekah dan banyak dihabiskan harta dalam perkara yang sia-sia, dan
banyak masa berhibur. Kita ada masa tetapi tidak suka berjihad,
berdakwah dan jalankan kerja-kerja amar makruf nahi mugkar dan tidak
suka menuntut ilmu. Oleh itu pastikan segala amalan dan aktiviti harian
kita menjurus kepada keredaan Allah S.W.T dan mendapat kasih
sayang-Nya.
Biodata Penulis
Abu Basyer Berkongsi pengalaman dan pengetahuan di dalam penulisan blog, bekalan untuk para pendakwah. Link blog beliau adalah Cemerlang.
No comments:
Post a Comment
Jazakallahu Khairan atas perkongsian komen anda