Assalamualaikum Ya Akhi Ya Ukhti

Jom Solat..

Peperiksaan LLB 2013.. Bitaufiq Wan Najah

Computer Repair & Service

Rakan Bloggers

Banner

Tuesday, June 28, 2011

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ


Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.
Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

  Sebelum Israk dan Mikraj


Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.


Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:


i.      Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii.     Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii.    Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);Dalam perjalanan itu juga baginda 

Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.


- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

  Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


i.    Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii.    Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii.   Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv.   Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S. v.   Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi.   Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii.   Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii.   Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix.   Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

 x.     Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T     :       Ya Muhammad.   
Rasulullah        :       Labbaika.  
Allah S.W.T     :       Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.  
Rasulullah        :       Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. 
Allah S.W.T     :       Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. 
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Selepas Mikraj


Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Monday, June 27, 2011

10 Tanda Golongan As-Siddiq-Berkata Benar


Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak ALlah ‘azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firmanNya.
Tanda-tanda demikian itu yang terdapat pada orang yang sodiq (benar) ialah :
1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar
2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir
3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir
4. Apabila ia terhalang ia akan sabar
5. Apabila diberi ia akan bersyukur
6. Apabila diuji ia mengucap tarji’ إن لله و إنا إليه راجعون
7. Apabila dilakukan tindakan bodoh ke atasnya ia berlemah lembut
8. Apabila ada ilmu ia merendah diri
9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu
10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab


26 Rejab 1432 Hijrah

Friday, June 24, 2011

ULANGTAHUN AN-NAKBAH KE-63 ( MALA PETAKA BESAR)

Hari ini marilah kita memperingati satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu.  Peristiwa tersebut dikenali sebagai 'Nakbah' yang membawa maksud  'Mala Petaka Besar'.    Secara rasminya kemuncak Peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948.  Pada petang 14 Mei 1948 Bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya dikebarkan bendera ' The Star of David' dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion. 

Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh Pertubuhan Zionis Antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari Kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat.  Tragedi tersebut menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanahair mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini.  Jumlah mereka kini sudah melebihi 5 juta orang dan sehingga kini mereka tanpa mendapat sebarang pembelaan termasuklah daripada Negara-negara umat Islam. 

Jika kita merasakan tragedi  Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai seorang muslim.  Apakah asas kepada perkara ini?. 
Yang utama adalah akibat daripada  leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa 'Nation State' yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam.  Umat yang diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu.  Firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun ayat 52 :  
Maksudnya; "Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau bertakwa kepada-Ku". 

Oleh kerana begitu mendalamnya konsep 'Nation State' yang diperkenalkan oleh penjajah, maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan.  Bahkan kadang-kadang timbul pula sentiment merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain .  Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. 

Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil-mahsulnya, tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas akidah yang kukuh.  Apabila akidah berjaya dihakis dari jati diri  umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwwah yang terbina di atasnya.  Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu-persatu.  Bahkan legasi penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang palsu sehingga wujudlah  50 negara Islam yang merdeka dan 19 negara lain yang bergabung bersama wilayah bukan Islam. 

Negara-negara Islam ini hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan  pembaris seperti Mesir, Sudan, Libia, Tunisia, Maghribi dan Negara-negara Arab yang lain.  Seperti juga Jordan, Syria, Iraq dan Palestin.  Begitu juga halnya negara kita Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda.  Justeru negara Islam yang jumlahnya 69 buah dan menempatkan 1.6 bilion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin.  Hakikatnya Palestin dikelilingi  oleh Negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroleumnya, tetapi seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa. 



Sikap tidak peduli umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah daripada sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwwah.  Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu daripada  wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting daripada itu.  Ia adalah tanah suci umat Islam.  Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita mempunyai tiga tanah suci.  Di samping Makkatul-Mukarramah dan Madinatul-Munawwarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu Baitul-Mukaddis di mana terletaknya Masjidil-Aqsa. 

Ia menjadi tempat persinggahan nabi Muhammad s.a.w. dalam Peristiwa Israk dan Mikraj. Rasulullah s.a.w. mengisytiharkan Baitul-Muqaddis mempunyai makna yang cukup besar bagi dirinya dan bagi umat  Islam.  Di samping Masjidil-Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadith-hadith yang berkaitan.  Solat di Masjidil-Aqsa juga menjanjikan pahala sehingga 500 kali ganda berbanding bersolat di tempat yang lain. 



Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disusuli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917 direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan yahudi oleh Resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas yahudi yang merampas tanahair rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. 

Pengisytiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh  bumi Palestin pada tahun 1967.  Pada tahun tersebut Baitul-Mukaddis Timur di mana terletaknya Masjidil-Aqsa, Tebing Barat dan  Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel.  Masjidil-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga kehari ini.  Mereka telah melakukan pelbagai  rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. 

Mereka menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil di bawahnya.  Kesemua peristiwa ini gagal menggerakkan hati nurani umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh  Salahuddin Al-Ayyubi ketika Baitul-Mukaddis dikuasai oleh kaum salibiyyah. 


Apa yang lebih mengecewakan  lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin.  Ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam  membisu seribu bahasa.  Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik dipotong, tidak ada barangan yang boleh dibawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan. 

Hari ini pesakit-pesakit meninggal dunia semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk penyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser.  Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam.  Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk bulan April tahun ini sahaja telah mencecah puluhan orang. 

Walau bagaimanapun, janji Allah itu benar.  Tidak ada sesuatu pun kehendak Allah yang boleh disekat.  Kita menyaksikan hari ini bagaimana regim-regim negara Arab yang mengkhianati saudara-saudara seagama di Palestin ditumbangkan oleh rakyatnya satu persatu.  Regim yang mewarisi dasar-dasar pemerintahan Amerika Syarikat dan melindungi Israel akhirnya dijatuhkan dengan penuh penghinaan. 
Dalam konteks ini bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sebahagian  dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq  (Damsyik) dan di pintu-pintu Al-Quds (Palestin) dan di sekelilingnya.  Pengkhianatan dan pembelotan oleh orang yang khianat tidak akan menyakiti golongan ini sedikit pun.  Mereka akan tetap menang, mempertahankan kebenaran sehingga saat berlakunya kiamat".       
         (Riwayat At-Tabarani)

Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik, tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam.  Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh regim zionis yahudi?. 

Sebuah  hadith daripada Mu'az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w. menegaskan dengan maksudnya: 
"Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan Asy-Syams (Palestin) selepas kewafatanku.  Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat.  Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai  Asy-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul-Mukaddis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan". 

Hadith daripada Abi Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah s.a.w. mengingatkan dengan maksudnya: 
" Sekumpulan dari kalangan umatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menentang mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian.  Para sahabat bertanya; "Di manakah mereka hai Rasulullah?.  

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Di Baitul-Mukaddis dan kawasan sekelilingnya". 
               (Riwayat Abdullah bin Ahmad dan At-Tabarani) 

Hadith-hadith yang terbit dari mulut Rasulullah s.a.w. adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telah pun disusun oleh Allah SWT.  Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya daripada Rasulullah s.a.w. sedang kita menyaksikannya dengan mata kepala kita sendiri.  Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman dan keyakinan kita berjuang pada jalan Allah?. 

Maksudnya: " Mereka merancang dan Allah merancang.  Dan Allah adalah sebaik-baik perancang ". 
(Ali 'Imran: 54)

Khutbah Jumaat Bacaan 24 Jun 2011
Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati oleh Imam Prof Madya Deen
Pensyarah Undang-Undang IIUM

Thursday, June 23, 2011

Makan kenyang mengaburkan cermin hati


Al-Haris al-Muhasabi berkata :
1- Sebuku roti kering untuk orang sufi sudah cukup.
2-  Takut kepada Allah SWT menimbulkan rindu kepadaNya dan mendapat rahmatnya.
3- Makan kenyang itu mengaburkan cermin hati.
4- Tidak banyak bercakap, berpuasa dan menjauhkan diri dari ahli dunia amatlah perlu dalam perjalanan menuju Allah SWT.
5- Tasawwuf itu adalah sabar dalam segala kesusahan dan meninggalkan yang lain kecuali Allah SWT.
6- Menumpukan perhatian kepada hal-hal keduniaan akan menghalang kepada menuju Makrifat Allah SWT.
7- Perhati dan Tangisi tentang akhir hayat ( hari-hari terakhir menuju kematian ).
8- Orang yang berkahwin (sehingga menghalang kepada beribadat dengan  Allah SWT ) , banyak bercakap ( memuji keduniaan ) dan  banyak berjalan ( menggunakan kaki ke tempat tidak memberi manfaat Akhirat ) adalah orang dunia.
9- Keluhan yang merendahkan diri dari seorang sufi adalah lebih baik dari beribadat seratus tahun.
10- Apabila mata batin terbuka, maka mata zahir akan tertutup.
11- Orang yang cintakan dunia tidak akan merasa Allah SWT, Allah SWT akan menilai orang tersebut dengan nilaian seekor nyamuk.
Kitab Tazkirah Awliya’.  m/s : 84-85.

Empat soalan ditanya pada hari Kiamat


Rasulullah saw bersabda, seperti yang diceritakan oleh Abi Barzah Nadhlah ‘Ubayd al-Aslamiy, yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal terhadap empat perkara. Mengenai umurnya, di manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia peroleh dan ke manakah dia belanjakan? Dan tubuh badannya, apakah yang sudah dia perbuat?” (Hadis riwayat at-Tirmidzi (hadis ini bertaraf hasan sahih)

Rasulullah dalam hadis itu mengingatkan umat Islam bahawa, di hadapan mahkamah pengadilan Allah, setiap daripada kita akan ditanya empat perkara, iaitu umur, ilmu, harta dan tubuh badannya. Dan kita tidak akan dapat berganjak, selagi tidak menjelaskan setiap persoalan itu.Pertama, mengenai umur. Nikmat umur yang dikurniakan Allah selama puluhan tahun, di manakah kita menghabiskannya? Katakan umur ketika hidup di dunia 70 tahun, berapa tahunkah yang diperuntukkan untuk melaksanakan amal salih bagi mengaut ganjaran pahala? Bagaimanakah, nasib kita sekiranya umur itu lebih banyak dibazirkan untuk berbuat maksiat dan dosa, sedangkan umur yang digunakan untuk beramal ibadat hanya sekitar 10 tahun? Itu pun selepas berada pada penghujung usia yang senja.Ke manakah perginya baki 60 tahun umur kita itu? Adakah kita yakin akan dapat mengecapi nikmat syurga dengan nilai pahala selama 10 tahun, sedangkan longgokan dosa yang kita kumpul selama 60 tahun pula begitu tinggi? Kedua, mengenai ilmu. Bagaimana jawaban kita jika ditanya mengenai ilmu? Apakah tanggungjawab terhadap ilmu yang kita miliki sudah kita tunaikan? Banyak ilmu yang kita tahu, tetapi adakah ia diamalkan?Kita tahu membezakan perbuatan baik dan buruk, tetapi mengapa kita masih berminat dengan sifat mazmumah (keji)? Kita ada ilmu tetapi mengapa tidak mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui?Ketiga, kita juga akan disoal mengenai harta benda yang kita miliki. Dari sumber manakah kita peroleh harta itu? Adakah daripada punca yang halal atau haram? Ke jalan manakah pula kita belanjakan harta itu? Ke jalan kebajikan atau kemungkaran?Rasulullah bersabda, maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.”Akhirnya, kita akan ditanya mengenai jasad atau tubuh badan kita. Apakah yang kita lakukan dengan tubuh yang sihat dan kuat ini? Adakah kita mensyukuri mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota badan yang lain dan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah? Atau kita ingkar nikmat pancaindera itu dan reda dimurkai-Nya? Itulah empat soalan yang bakal dihadapkan kepada kita untuk dijawab, berdasarkan amalan kita. Semoga kita berjaya menjawabnya dengan bantuan amal salih, keikhlasan ibadat, dan sedekah jariah di dunia.Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri supaya kita tergolong ke dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian itu.

sumber: www.ukhwah.com
21 Rejab 1432 Hijrah

Tuesday, June 21, 2011

70 Dosa Besar dalam Islam

Beberapa dosa besar atau kaba’ir dalam Islam adalah sebagai berikut:


1. Menyekutukan Allah atau Syirik
2. Membunuh Manusia
3. Melakukan Sihir
4. Meninggalkan Shalat
5. Tidak Mengeluarkan Zakat
6. Tidak Berpuasa ketika bulan Ramadhan tanpa alasan yang kuat
7. Tidak Mengerjakan Haji Walaupun Berkecukupan
8. Durhaka Kepada Ibu Bapa
9. Memutuskan Silaturahim
10. Berzina
11. Melakukan Sodomi atau Homoseksual
12. Memakan Riba
13. Memakan Harta Anak Yatim
14. Mendustakan Allah S.W.T dan Rasul-Nya
15. Lari dari Medan Perang
16. Pemimpin Yang Penipu dan Kejam
17. Sombong
18. Saksi Palsu
19. Meminum minuman beralkohol
20. Berjudi
21. Menuduh orang baik melakukan Zina
22. Menipu harta rampasan Perang
23. Mencuri
24. Merampok
25. Sumpah Palsu
26. Berlaku Zalim
27. Pemungut cukai yang Zalim
28. Makan dari harta yang Haram
29. Bunuh Diri
30. Berbohong
31. Hakim yang Tidak adil
32. Memberi dan menerima sogok
33. Wanita yang menyerupai Lelaki dan sebaliknya juga
34. Membiarkan istri, anaknya atau anggota keluarganya yang lain berbuat mesum dan memfasilitasi anggota keluarganya tersebut untuk berbuat mesum
35. Menikahi wanita yang telah bercerai agar wanita tersebut nantinya bisa kembali menikah dengan suaminya terdahulu
36. Tidak melindungi pakaian dan tubuhnya dari terkena hadas kecil seperti air kencing atau kotoran
37. Riya atau suka pamer
38. Ulama yang memiliki ilmu namun tidak mau mengamalkan ilmunya tersebut untuk orang lain
39. Berkhianat
40. Mengungkit-Ungkit Pemberian
41. Mangingkari Takdir Allah SWT
42. Mencari-cari Kesalahan Orang lain
43. Menyebarkan Fitnah
44. Mengutuk Umat Islam
45. Mengingkari Janji
46. Percaya Kepada Sihir dan Nujum
47. Durhaka kepada Suami
48. Membuat patung
49. Menamparkan pipi dan meratap jika terkena bala
50. Menggangu Orang lain
51. Berbuat Zalim terhadap yg lemah
52. Menggangu Tetangga
53. Menyakiti dan Memaki Orang Islam
54. Derhaka kepada Hamba Allah S.W.T dan menggangap dirinya baik
55. Memakai pakaian labuhkan Pakaian
56. Lelaki yang memakai Sutera dan Emas
57. Seorang hamba (budak) yang lari dari Tuannya
58. Sembelihan Untuk Selain Dari Allah S.W.T
59. Seorang yang mengaku bahwa seseorang itu adalah ayahnya namun dia tahu bahwa itu tidak benar
60. Berdebat dan Bermusuhan
61. Enggan Memberikan Kelebihan Air
62. Mengurangi Timbangan
63. Merasa Aman Dari Kemurkaan Allah S.W.T
64. Putus Asa Dari Rahmat Allah S.W.T
65. Meninggalkan Sholat Berjemaah tanpa alasan yang kuat
66. Meninggalkan Sholat Jumaat tanpa alasan yang kuat
67. Merebut hak warisan yang bukan miliknya
68. Menipu
69. Mengintip Rahasia dan Membuka Rahasia Orang Lain
70. Mencela Nabi dan Para Sahabat Beliau

Sunday, June 19, 2011

Bantuan Allah

Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.

Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus'ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.

Sumber: iluvislam.com
17 Rejab 1432 Hijrah

Friday, June 17, 2011

AMALAN WAKAF DAN KEPENTINGANNYA DALAM KEHIDUPAN

Wakaf bermaksud memberikan sesuatu harta yang kekal manfaatnya. Harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh juga dikembangkan dalam pelbagai bentuk manfaat untuk keperluan umat Islam dan generasi akan datang.

Perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan contoh terbaik yang telah menjadi batu asas kepada amalan wakaf, di mana wakaf yang pertama sekali di dalam Islam ialah pembinaan Masjid Quba' seterusnya diikuti dengan pembinaan Masjid An-Nabawi. Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah membeli tanah tersebut daripada dua saudara yatim piatu Sahal dan Suhail dengan harga 100 dirham, kemudian mewakafkan tanah tersebut bagi pembinaan masjid.

Para sahabat juga tidak terkecuali dan berlumba-lumba dalam melaksanakan ibadah wakaf. Saidina Umar R.A contohnya telah mewakafkan sebidang tanah di khaibar untuk manfaat umat Islam. Begitu juga para sahabat yang lain. Jabir R.A berkata: tidak ada seorang pun di kalangan sahabat yang berkemampuan, tidak mewakafkan hartanya. Ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat sentiasa berlumba-lumba untuk mencontohi perilaku Rasulullah S.A.W serta berusaha mencari redha Ilahi.

Hari ini pula kita dapat melihat bagaimana harta wakaf dapat memartabatkan ekonomi dan meningkatkan syiar Islam. Universiti Al-Azhar di Mesir contohnya telah melahirkan ratusan ribu para pelajar. Begitu juga hospital-hospital dan klinik-klinik wakaf dan beberapa institusi yang telah ditaja sepenuhnya daripada harta wakaf umat Islam di Negara-negara Islam.

Amalan wakaf ini juga merupakan satu amalan yang menjamin ganjaran pahala yang berterusan. Sebagaimana sabda Baginda Rasulullah S.A.W.:

"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan baginya".
(Riwayat Muslim)

Hadith ini menjelaskan bahawa antara amalan yang tidak akan terputus ganjaran pahalanya adalan amalan wakaf seperti mewakafkan tanah, masjid, bangunan atau wang ringgit yang ditukarkan kepada aset kekal dan dapat dinikmati manfaatnya oleh orang ramai dan lain-lain. Harta yang diwakafkan ini tidak akan terhapus bahkan ianya akan terus berkembang sehingga ke Hari Kiamat.

Sudah tentu ramai di kalangan kita mampu untuk mewakafkan sedikit daripada harta yang dimiliki bagi menegakkan syiar Islam. Jika kita tidak memiliki tanah dan rumah sekalipun, cukuplah sekadar kita mewakafkan wang tunai yang kita miliki untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 261:

"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji; Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".

Begitulah nilaian amalan infaq yang kita lakukan, menjadi besar di sisi Allah S.W.T. Apakah perniagaan yang lebih menguntungkan selain daripada perniagaan dengan menyahut seruan dan saranan Allah S.W.T?

Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 111:
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka,....".

Di antara hikmah-hikmah berwakaf adalah seperti berikut:-

Pertama : Dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama manusia di dunia dan mendapat ganjaran pahala  
               yang berkekalan sehingga ke hari Akhirat.

Kedua : Menyemarakkan semangat saling bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu dengan yang  
             lain.

Ketiga : Harta wakaf bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh golongan fakir, bahkan seluruh masyarakat 
             bakal mendapat manfaat daripada harta wakaf ini.

Keempat : Mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T serta mendapatkan kasih sayangnya.

Kelima : Harta wakaf yang diperolehi dapat digunakan bagi menegakkan ekonomi dan syiar umat Islam.

"Kamu telah dilalaikan (daripada melakukan ketaatan kepada Allah) oleh perlakuan bermegah-megah (saling bangga-membangga dengan harta, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke liang kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kelak kamu akan mengetahui (akibat buruknya pada hari kiamat)!. Sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu kan mengerjakan perkara-perkara yang akan menjadi bekalan kamu untuk jari akhirat). (Ingatlah) Sesungguhnya! Kamu akan melihat api neraka yang marak menjulang. Kemudian itu, sesungguhnya! Kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Kemudian, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmati semasa di dunia) ". 




Sumber: Dipetik dari Khutbah Jumaat 17.6.2011
15 Rejab 1432 Hijrah

 

Copyright © 2012 Reserved to MOHAMAD THAMIM ANSHAARI Design by CikBulat