Syirik bermaksud mempersekutukan Allah SWT, meyakini dan mempercayai kepada sesuatu makhluk bahawa ia berkuasa untuk memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu perkara. Kepercayaan yang merosakkan akidah ini dapat dilihat melalui perlakuan seperti memuja dan meminta pertolongan di tempat-tempat yang dipercayai keramat atau penunggu, berjumpa pawang untuk menilik nasib, membuat tangkal dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w melarang umatnya dari melakukan segala bentuk syirik kerana ia merupakan dosa besar yang amat dimurkai oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa ayat 48:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik (mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun) dan akan mengampuni dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.
Akidah yang bersih dari segala bentuk perlakuan syirik adalah asas agama Islam. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w berjuang menumpukan dakwah dalam tempoh kerasulan baginda bagi memperbetulkan akidah manusia. Justeru, sebagai seorang muslim, kita sewajarnya sedar tentang kepentingan akidah agar kita terus memperkemaskan dan memagarinya dengan ilmu, amal dan taqwa. Agar ia tidak mudah goyah dan dicemari dengan apa jua perlakuan syirik.
Syirik boleh berlaku dalam lima perkara:
Pertama : Syirik dalam iktikad. Iaitu meyakini ada Tuhan selain Allah.
Kedua : Syirik dalam ketaatan. Iaitu mentaati manusia lebih daripada mentaati Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta”(Riwayat Bukhari)
Ketiga : Syirik dalam kasih sayang. Iaitu mengasihi manusia atau harta benda lebih dari mengasihi Allah.
Keempat : Syirik dalam tawakal. Iaitu berserah kepada manusia atau makhluk lebih dari berserah kepada Allah.
Kelima : Syirik dalam Ibadah. Iaitu mengabdikan diri kepada selain Allah. Al-Quran menerangkan syirik boleh berlaku dalam banyak bentuk.
Sebagai contoh, orang Yahudi melakukan syirik kerana menyangka Uzair adalah anak Tuhan dan orang Nasrani melakukan Syirik dengan menyembah Nabi Isa a.s. Ketaatan, kecintaan dan kasih sayang, taasub dan kefanatikan kepada individu secara berlebihan semuanya boleh membawa kepada syirik.
Di antara perbuatan syirik yang masih berleluasa dan menjadi amalan di dalam masyarakat kita sehingga hari ini adalah mempercayai pawang, tangkal dan azimat seperti mengamalkan ilmu menurun, memuja kubur, memakai susuk, memuja untuk mendapatkan wang dan sebagainya. Bahkan drama-drama di televisyen sering memaparkan cerita-cerita tahyul dan hantu yang memaparkan watak bomoh, pawang dengan menggunakan kuasa tangkal azimat sehingga menarik minat ramai penonton dan sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa dan akidah mereka khususnya terhadap remaja dan kanak-kanak. Rasulullah s.awdengan tegas melarang semua perbuatan ini kerana adalah perlakuan syirik.
Hadis daripada Abdullah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
¨Sesungguhnya tangkal, azimat dan guna-guna itu adalah perlakuan syirik. ¨ (Riwayat Hakim)
Sebenarnya amalan syirik seperti ini sudah sekian lama berada di dalam kehidupan manusia. Walaupun telah terbukti amalan-amalan ini tidak memberi apa-apa kesan secara pasti dan nyata, ia masih terus diyakini dan diamalkan oleh ramai manusia. Perbuatan syirik ini juga diamalkan secara meluas di kalangan umat arab sejak zaman berzaman. Rasulullah s.a.w telah berusaha dengan gigih menghapuskannya dari kehidupan umat Islam bagi memastikan akidah mereka bebas dari sebarang perlakuan syirik.
Daripada Uqbah bin Aamir R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
Sesiapa yang menggantung azimat maka Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya, dan sesiapa yang menggantung tangkal maka Allah tidak akan memberikan perlindungan kepadanya.¨(Riwayat Abu Yala dan Hakim)
Jelas sekali kemurkaan Allah SWT kepada mereka yang mensyirikkanNya, sehingga Allah berjanji tidak mengurniakan hajat mereka. Sudahlah harapan tidak kesampaian, ditambah pula dengan kemurkaan Tuhan di atas amalan syirik yang mereka amalkan. Bukankah ini perlakuan yang sangat merugikan dan sia-sia.
Perlu kita sedari bahawa di samping amalan-amalan syirik yang telah dinyatakan tadi, di sana ada satu jenis syirik kecil yang tersembunyi yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW agar kita berwaspada terhadapnya.
Daripada Mahmud bin Labid R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
¨Sesungguhnya apa yang paling aku takuti terjadi ke atas kamu adalah Syirik yang tersembunyi. Para Sahabat bertanya. ¨Apakah Syirik yang tersembunyi itu, ya Rasulallah?¨ Baginda menjawab, ¨Riak. Allah berseru kepada mereka yang riak pada hari kiamat tatkala manusia menerima ganjaran pahala amalan-amalan mereka, ¨Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu pertontonkan amalan kamu kepada mereka, lihatlah adakah di sisi mereka ganjaran pahala (kamu).¨(Riwayat Ahmad)
Alangkah malangnya nasib orang yang riak. Mereka dihalau dari rahmat Allah dan disuruh menuntut pahala dari orang yang meraka beramal kerana orang-orang tersebut. Siapakah yang boleh memberi pahala kepada orang lain di hari yang penuh kekalutan itu?
Ternyata tiada siapa yang dapat memberi pahala selain Allah.Marilah kita kembali kepada Allah dengan bertaubat dan meninggalkan segala perbuatan dan perlakuan syirik.
Tiada yang bakal kita perolehi selain kemurkaan Allah dan tersingkir dari lindungan naungan Allah dan rahmat-Nya. Sedarlah bahawa sebagai seorang yang beriman, kita selayaknya hanya berdoa, memohon hajat dan perlindungan kepada Allah SWT sahaja.
Pada masa yang sama kita taati segala perintah Allah dan meninggalkan segala maksiat dan kemungkaran agar hajat-hajat dan doa kita tidak terhijab. Setelah segala usaha kita jana dan doa kita panjatkan, bertawakkal dan berserah dirilah kepada-Nya. Begitu juga segala amal ibadah yang kita lakukan, perlu dipastikan ianya dengan tulus ikhlas kerananya. Seseorang yang syirik kepada Allah bererti dia telah menzalimi dirinya sendiri dengan mengiktiraf tuhan selain Allah, lalu dia dihumban ke lembah keresahan, ketakutan dan terhina di akhirat dengan azab neraka yang telah Allah sediakan disebabkan amalan syirik yang mereka lakukan.
Firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 151 :
Kami akan masukkan ke dalam hati orang kafir itu rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu (yang mereka sembah) sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. (Dengan yang demikian)kembali mereka ialah neraka. Itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang zalim¨.
Lihatlah kehinaan di dunia dan di akhirat yang telah Allah sediakan untuk orang-orang yang mensyirikkannya. Semoga kita akan sentiasa berusaha menjauhi segala amalan dan perlakuan syirik ini sepanjang hayat kita.
¨Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, ¡¨Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar¨.(Luqman : 13)
No comments:
Post a Comment
Jazakallahu Khairan atas perkongsian komen anda