Assalamualaikum Ya Akhi Ya Ukhti

Jom Solat..

Peperiksaan LLB 2013.. Bitaufiq Wan Najah

Computer Repair & Service

Rakan Bloggers

Banner

Friday, March 23, 2012

Solat Sunat Musafir


Pendapat masyhur tempatan menganjurkan seseorang yang akan bermusafir agar dia melakukan solat sunat sebelum musafir terlebih dahulu. Pendapat ini juga masyhur di sampaikan oleh penceramah-penceramah 'Kursus Haji´ di mana para jemaah haji yang akan berangkat disyorkan agar mendirikan solat sunat sebelum musafir di saat-saat akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Ketahuilah bahawa sebenarnya tiada dalil sahih yang mensyari'atkan solat sunat sebelum musafir kecuali sebuah hadith daif yang bermaksud: Tidak ada satupun yang lebih utama ditinggalkan seseorang kepada keluarganya selain solat 2 rakaat yang dilakukannya di saat hendak berpergian. [1] Hadith-hadith yang daif, yakni lemah, tidak boleh dijadikan hujah mahupun dalil dalam hal-hal agama, apatah lagi sebagai sesuatu yang mensyari'atkan sesuatu bentuk ibadah. Justeru sesiapa yang menelaah kitab-kitab hadith mahupun kitab-kitab fiqh muktabar tidak akan menemui sebarang dalil sokongan atau hujah penjelasan bagi mengesahkan kewujudan solat sunat ini di sisi syari'at Islam. 

Selain riwayat daif di atas, tidak ada sebarang dalil lain yang dapat mewujudkan solat sunat sebelum musafir ini, sebagaimana terang Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris: Tidak ada hadith sahih yang menyunatkan solat 2 rakaat di kala hendak keluar rumah untuk bermusafir dan tidak ada pula hadith sahih yang menyunatkan solat sunat di kala berhenti dalam perjalanan dan apabila sampai ke tempat yang dituju. [2]

Setiap ibadah itu adalah tertakluk kepada kehendak Allah Azza waJalla dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kata-dua dalam menentukan hal-hal mengenainya. Kita tidak boleh mencipta sesuatu ibadah atau mewujudkan sesuatu amalan kerana itu adalah hak Allah sebagai Tuhan padahal kita hanyalah hambaNya. Tugas kita ialah beribadah kepada Allah dengan cara-cara yang telah diajar oleh al-Qur'an dan as-Sunnah, bukan pula mereka-cipta cara-cara ibadah atau tujuan-tujuan tertentu bagi sesuatu ibadah. Sekalipun solat-solat sunat amat dianjurkan oleh agama tetapi ingatlah bahawa setiap solat sunat itu mempunyai jenisnya dan setiap jenis solat sunat wajib mempunyai dalil pensyari'atannya.

Walaubagaimanapun terdapat solat sunat apabila kembalinya seseorang daripada musafir atau mana-mana perjalanan yang jauh, dikenali sebagai solat sunat selepas musafir.[3] Dalil-dalil bagi solat sunat ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadith, di mana Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila beliau kembali ke Kota Madinah selepas musafir, beliau adakalanya singgah di masjid terlebih dahulu mendirikan solat sunat 2 rakaat. Salah satu dari hadith yang dimaksudkan adalah berikut ini:Jabir radiallahu-anhu berkata, aku pernah bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam suatu perjalanan. Apabila kami kembali semula ke Madinah, beliau berkata: Singgahlah dahulu di masjid. Lalu kemudian beliau mendirikan solat 2 rakaat di dalamnya.[4] 

Kesimpulan

1.      Tidak ada dalil sahih yang mensyari'atkan solat sunat sebelum musafir.
_____________________________________________________________________________

1]               Maksud hadith diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani dan Ibnu Asakir, dinyatakan kelemahannya oleh Shaikh Sayid Sabiq dalam Fiqh-us-Sunnah, 5/10 ; daif kerana perawi-perawinya terputus melebihi dua orang secara berturut-turut (mudlal) sementara perawinya yang pertama pula tidak hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam (mursal). Hadith yang mudlal dan mursal tidak boleh dijadikan sumber hukum agama.

[2]               Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris - Pedoman Solat-solat Sunat Menurut Sunnah Rasulullah SAW, ms 302.

Perhatian  Tersangat banyak buku-buku tempatan yang menerang serta menganjurkan pelbagai jenis solat-solat sunat yang tidak ada dasarnya mahupun dalil-dalil sokongannya. Para pembaca sekalian diharapkan dapat berhati-hati dalam hal ini agar setiap amal-ibadah yang kita usahakan adalah yang benar-benar disyari'atkan oleh Islam dan bukan sesuatu yang merupakan bid'ah reka-cipta manusia. Dalam bab solat-solat sunat, penulis amat menganjurkan pembacaan dan pengkajian buku di atas kerana ia, sekadar pengetahuan penulis, adalah satu-satunya buku pedoman solat sunat yang ada masa kini di pasaran yang menganjurkan sesuatu solat itu berdasarkan dalil-dalil yang jelas lagi sahih.

[3]               Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/67.

[4]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari, Misykat al-Masabih, 2/113/016.





Sumber Asal:http://hafizfirdaus.com

No comments:

Post a Comment

Jazakallahu Khairan atas perkongsian komen anda

 

Copyright © 2012 Reserved to MOHAMAD THAMIM ANSHAARI Design by CikBulat